Program Motivasi bersama Alumni YAKIN

25 Oct 2025 | Maliah Adenan

SERAMAI 61 pelajar seronok dengan Program Motivasi bersama Alumni YAKIN yang dianjurkan oleh Yayasan Kemajuan Insan Sarawak di Bilik Mawar, Kompleks Asrama Yayasan Sarawak, baru-baru ini.

Objektif program berkenaan adalah memberi kesedaran kepada kalangan pelajar Asrama YAKIN tentang pentingnya memajukan diri dari aspek pendidikan, selain memberi aspirasi kepada mereka untuk berjaya dalam kehidupan dengan keluar daripada lingkaran kemiskinan.

"Program turut meningkatkan motivasi pelajar supaya tidak mudah berputus asa, di samping memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan lebih dekat bersama alumni Asrama YAKIN," tambah Jolly Marikan yang merupakan Pengurus YAKIN ketika memberi kata alu-aluan.

Jolly juga berharap pelajar berkenaan turut mencontohi alumni asrama YAKIN yang telah berjaya bukan sahaja dari aspek akademik bahkan juga bermacam bidang, dalam pada itu menekankan betapa pentingnya sahsiah dan moral pelajar untuk membentuk keperibadian mulia sekali gus berupaya memberi sumbangan kepada negara.

Menurut Jolly lagi, Dr Haznul Hafizzi Abd Hadi merupakan Pegawai Perubatan Siswazah dan salah seorang daripada pelajar Asrama YAKIN bagi tempoh 2013 hingga 2017.

"Pengurusan YAKIN mengundangnya untuk memberi motivasi supaya pelajar Asrama YAKIN lebih bersemangat walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran semasa menuntut ilmu."


Keterangan bergambar:-

Jolly (kanan) bersama Haznul (kiri) dan pelajar Asrama YAKIN

  menyertai Program Motivasi bersama Alumni YAKIN yang dianjurkan oleh Yayasan Kemajuan Insan Sarawak 


Kembali ke Senarai